Followers

Saturday, December 7, 2013

Kefahaman itu penting




Aku ingin bebas
Dari selaput jahiliyyah yang menyeksakan
Kurniakanku kekuatan
Dengan sayap keimanan
Aku akan terbang menggapai kebebasan
Di sisi Tuhan sahajalah terdapat ketenangan


Muiez berada di musalla Fakulti Syariah, Universiti Yarmouk. Telinganya dipekakkan dengan lagu-lagu Sheila On 7, antara band Indonesia yang diminatinya.

Irfan mendekatinya lalu memberi salam. Ketika dia memberi salam yang pertama, matanya ternampak Muiez yang sedang memerhatikannya. Muiez segera beralih muka apabila tahu Irfan menyedari kehadirannya. Irfan menyempurnakan salamnya yang kedua, berdiam sebentar.

“Assalamualaikum.” Irfan duduk di sebelah Muiez tanpa rasa kekok. Seakan – akan Muiez adalah teman rapatnya.

Muiez menjawab salam perlahan.

“Dengar lagu apa?” Irfan bertanya sambil menunjuk ke arah headphonenya.

“Sheila On 7.” Muiez menjawab selamba, walaupun dia tahu lagu yang didengarinya sangat kontra dengan kedudukannya dalam rumah Allah, tempat orang melakukan solat. Dia menjangka Irfan akan marah apabila mendengar jawapannya.
Tetapi sebaliknya, Irfan ketawa kecil.

“Minat Sheila On 7 juga?”
Pertanyaan Irfan itu mengejutkannya. Segera dia menarik sebelah headphonenya. 

“Kenapa? Kau minat juga?” Muiez bertanya dalam hairan.

Irfan menggeleng. “Dulu, Asid minat betul dengar Sheila On 7 dan Peterpan.”

Muiez tersengih. 
Sheila On 7 dan Peterpan adalah kumpulan muzik yang sangat popular suatu ketika dahulu. Kini, walaupun masih meminati, tidak sehebat zaman kegemilangan mereka dahulu.

“Masa itu, Asid di tahun satu atau dua. Lebih kuranglah.” Irfan cuba mengingati.

“Kau tak marah Asid dengar lagu-lagu macam ini?” Muiez menunjukkan headphonenya, seolah-olah lagu itu ada di situ, boleh dilihat.

“Marah? Buat apa marah-marah?”

“Yalah, dia dengar lagu yang macam ini. Bukankah tak bagus?”

“Ehmm, betullah tak bagus. Tapi marah sebab benda kecil macam ini pun tak bagus juga. Ada benda yang lebih besar. Insya Allah benda –benda macam ini, akan ditinggalkan sendiri apa bila dia mencapai kefahaman yang jelas.”

“Kefahaman yang jelas? Kenapa ia akan membuatkan orang meninggalkan benda-benda macam ini?” Muiez bertanya lagi. Tiba-tiba ada rasa ingin tahu yang membuak dalam dirinya.

“Macam mana nak cerita ya?” Irfan berfikir sebentar.

Dia tidak sangka Muiez akan jadi berminat. Mereka tidak pernah bersembang mesra. Malah sebelum ini, sukar sekali dia hendak mendekati Muiez.

“Beginilah, Muiez. Jawab soalan aku dulu. Kita datang daripada siapa?”

“Allah.”

“Baik, kemudian kita akan pulang nanti di akhirat kepada siapa?”

“Allah.”

“Hah. Maka, kalau kita faham benda ini dengan baik, beriman dengan-Nya tanpa ragu, kita akan lihat betapa kita ini datangnya daripada Allah. Kalau Allah tak jadikan kita, kita tak ada di dunia ini.”

“Betul.”

“Dan kita ini, lepas mati akan bertemu dengan Allah. Allah akan kira amalan kita dan segala yang kita lakukan di dunia.”

“Okey. Jadi, apa yang membuat kita mahu tinggalkan benda-benda macam ni?”

“Apabila kita nampak semua itu, bukankah tidak patut kalau kita hidup dengan apa yang tiada kaitan dengan pengembalian kita kepada Allah nanti? Sudahlah datang dari Allah. Balik pun akan jumpa Allah. Maka, mana mungkin hidup kita tiada kaitan dengan Allah?”

Muiez terdiam. Logik yang Irfan guna, walaupun tiada bantuan hadis, ayat Quran, tetap mengetuk daya fikiranny. Datang daripada Allah, balik juga kepada Allah, maka apakah molek hidup ini, kita lakukan perkara yang tiada kaitan dengan-Nya?

“Hidup manusia ini ibadah. Semua ibadah. Jadi apakah molek ibadah itu kita sekalikan dengan perkara yang tidak dikira sebagai ibadah?” Sekali lagi Irfan menyoal, dan soalan itu menggegarkan minda Muiez.

“Sebab itu apabila aku tahu Asid suka dengar lagu, aku kenalkan dia dengan kumpulan Indonesia macam Snada, Fatih, Gradasi, Tashiru, Ruhul Jadid, Shoutul Harokah dan sebagainya. Kebelakangan ni, dia suka pula kumpulan Inggeris seperti Sound of Reason, Outlandish. Tapi itu semua dia cari sendiri kemudianlah.”

Irfan galak bercerita, seakan-akan Muiez adalah teman rapatnya selama ini. Muiez terpana. Begitu sekali. Tidak marah, tetapi menunjukkan mana yang benar. Halus, tetapi berkesan.

“sebab itu, buat apa aku mahu marahkan kau? Benda macam ni, kalau selepas mendapat kefahaman, insya Allah mudah saja ditinggalkan. Yang susah untuk dapat adalah kefahaman itu.”

Irfan tersenyum, menepuk bahu Muiez.

“Susahkan mahu dapatkan kefahaman itu?”


Irfan mengangguk. “Kefahaman yang mampu diterjemah dalam amal ini, bukan boleh dapat dalam kelas atau menghafal beberapa fakta. Kita perlu lalui tarbiyah.”

“Tarbiyah? Pendidikan?” Muiez menterjemahkan dari Bahasa Arab ke bahasa Melayu secara terus.

“Itu dari segi bahasa. Yang aku maksudkan adalah proses tarbiyah. Satu proses yang kita lalui untuk diri kita agar taat kepada Allah dalam apa jua perkara. Proses untuk meningkatkan keimanan kita. Senang cerita, satu proses untuk membawa kita pada tahap yang Allah mahu.”
Irfan menerangkan dengan bersungguh-sungguh.

Dipetik daripada Novel Sinergi - Hilal Asyraf.
Ntah, rasa terkesan dengan statement yang diberikan.
Yes, kefahaman itu sangat penting.
Moga dapat manfaat darinya. 
InsyaAllah.




No comments:

Post a Comment

Hello ,
ringankan jari anda untuk meng-KOMEN :D
Terima kasih